Barangkali cerita ini sudah basi sebab telah lama berlalu. Tapi tidak mengapalah dipaparkan juga untuk makluman semua.
Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke XIV mulai 27 - 29 Julai 2007 lalu dijangkakan akan dirasmikan oleh MB Kedah ketika itu. Malangnya Dato Sri Mahdzir Khalid langsung tidak mejengukkan muka di sepanjang acara yang berlangsung di Hotel Holiday Vila, Alor Setar.
Beberapa orang delegasi iaitu dari Selatan Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Malaysia turut membincangkan isu Bahasa Melayu yang kian terpinggir dan tidak mendapat sebarang pembelaan oleh pihak berwajib (kerajaan) dalam kertaskerjanya.
Ada di antaranya sewaktu membentangkan kertaskerja terang-terang membantah jenama Bahasa Melayu yang hendak disebut sebagai Bahasa Malaysia yang dikatakan tiada roh. Sementara delegasi dari luar Malaysia memandang sinis akan hal ini kerana pada pendapat mereka masakan penggunanya akan mengatakan mereka menggunakan Bahasa Malaysia.
Ketua 2 Gapena, Datuk Abdul Latif Bakar juga menyatakan bila isu Bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik sepatutnya menggunakan pengantar Bahasa Melayu, ramai pemimpin berbangsa Melayu yang bangun menentang. Lantas beliau mengesyorkan supaya diadakan seminar atau seumpamanya melibatkan pelbagai pihak berkaitan dengan isu ini. Namun sehingga kini belum direalisasikan.
Saya merasa lucu juga bila Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussain ingin menonjolkan Gapena sebagai wira pembela UMNO. Pada hal sebelum ini beliau khabarnya pernah merungut bahawa pandangan Gapena tidak diendahkan langsung oleh para pemimpin UMNO terutama berkaitan dengan isu Bahasa Melayu.
Dalam pada itu ada beberapa orang rakan termasuk pimpinan organisasi persuratan yang turut bernaung dengan Gapena juga merungut kerana dalam Perhimpunan UMNO tidak ada walau seorang perwakilan pun yang menyuarakan soal Bahasa Melayu yang sedang diperlekehkan.
Jadi dalam soal ini pada pendapat saya, beberapa pihak wajar mempertimbangkan dengan saksama. Apakah kita kini sedang menapak ke belakang?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment