Sunday, July 19, 2009

PEMENTASAN TEATER


Pada 18.07.2009 jam 09:07:48 malam saya menerima sms brirasa berkaitan pementasan teater 'Menuggu Kata Dari Tuhan', sebuah monodrama karya dan arahan Dinsman yang akan berlangsung di Dewan Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar pada 19.07.2009 mulai jam 09:00 malam.
Pemainnya ialah Sabri Yunus dengan penataran muzik (biola) oleh Sani Sudin. Saya telah menghantar (forward) sms kepada beberapa orang kawan. Ruhie Isma balas sms saya dengan mengatakan dia wajib pergi. Saya juga menghubungi Hadi Maji kerana pada ketika itu (18.07.2009) di kaca televisyen sedang berlangsung teater berjudul 'ZALZALAH' karya dan arahan Erma Fatimah menerusi program Pilih Kasih. Judul yang sama lah naskhah karya Hadi Maji akan pentaskan sekitar tahun 1993. Beliau juga kata akan pergi menonton teater karya Dinsman itu. Kira-kira jam 04:00 petang 19.07.2009 saya menerima panggilan telefon daripada Abd Jalil Husain yang merupakan seorang penggiat teater dan sekarang bertugas sebagai jurulatih seni persembahan di UiTM Sg Petani, Merbok kata dia juga ingin pergi menonton. Pada hari yang sama, saya bertemu dengan Pengerusi Kreatif Utara Budaya Anak Seni (KUBAS), Rohizam Md Nor yang buat part time sebagai DJ di Pc Depot, Jalan Pegawai, Alor Setar. Dia memaklumkan perkara berkenaan melalui sms kepada ahli-ahli KUBAS.

Saya sejak lama dulu memang berminat dengan aktiviti persembahan pentas biarpun sedang menderita sakit telah pergi menyaksikan pementasan teater tersebut. Setiibanya di sana, hanya Puzi Hadi dan Zaidin Abadi saja yang kelihatan datang awal yakni sebelum pementasan bermula. Kemudian saya bersua dengan Ahkarim. Rakan-rakan yang lain tak nampak muka dan dalam hati saya berkata selepas ini kalau mereka bertanya tak payah jawablah. Bukan nak marah tapi tafsiran saya terhadap penerimaan khalayak lebih-lebih lagi penggiat dan peminat seni budaya sebenarnya tidak bersungguh-sungguh. Menariknya selepas pementasan, ada dialog dengan Dinsman, Sabri Yunus dan Sani Sudin yang agak menggalakkan dengan penyertaan para pelajar Kolej Universiti Insaniah. Mungkin selepas ini boleh dirancang 'sesuatu' dengan Kolej Universiti Insaniah. Barangkali Puzi Hadi dan Zaidin Abadi boleh mengaturnya. Saya pernah membayangkannya sebelum ini.

Monday, April 13, 2009

PEMUDA BESUT: TERENGGANU YANG TERKINI & PANAS : UNDI TAK PERCAYA & UGUTAN BUNU

PEMUDA BESUT: TERENGGANU YANG TERKINI & PANAS : UNDI TAK PERCAYA

Sunday, April 12, 2009

CARA MEMIKAT KHALAYAK MENDEKATI ISLAM KIAN MENARIK




Cara memikat khalayak mendekati Islam dilihat kian menarik. Elok rasanya gaya baginda Rasulullah s.a.w. menyampaikan risalah Islam dengan menanamkan aqidah selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun dengan ilmu fiqah di Madinah wajar dijadikan kajian terperinci. Bukan mengecam serta mencerca jika ada terdapat bukan Muslim membaca al-Quran! Jika kaedah sedemikian (mengecam dan mencerca)digunapakai, saya percaya kita gagal menarik orang-orang bukan Muslim mendekati Islam.
Lantas saya teringat berkenaan penglibatan dengan sebuah kumpulan muzik di Alor Setar ketika saya belum diserang strok/angin ahmar dulu. Saya bukanlah berkebolehan sangat di bidang nyanyian. Namun keupayaan saya membawa beberapa buah lagu zaman 1960-an, saya diminta membantu Band Rakan Muda yang rata-rata anggotanya adalah anak-anak remaja di bawah umur 25 tahun. Saya kagum dengan kesungguhan mereka memanfaatkan masa daripada melepak dan merempit yang ternyata sia-sia.
Ada seorang pegawai di tempat saya bertugas waktu itu yang berkata bahawa perbuatan saya sedemikian mendorong ke arah maksiat. Saya kurang senang dengan pendapat beliau yang memandang rendah terhadap penglibat di bidang seni suara seolah-olah mereka itu berada dalam golongan mengamal maksiat.
Demi menegakkan pendirian, saya mempertahankannya dengan mengatakan bahawa tindakan saya itu berada di landasan yang betul. Alasan yang saya berikan ialah adalah lebih baik jika anak-anak muda Islam mencintai lagu-lagu tempatan daripada meminati atau memuja lagu-lagu dari barat yang entahkan zikir mereka di gereja. Tidak lama kemudian membiak lagu-lagu black metal yang turut mempengaruhi sebilangan anak muda. Lalu saya nyatakan kepada pegawai berkenaan, jika anak-anak muda tidak didorong untuk meminati lagu-lagu Melayu barangkali ramai di antara mereka jadi penganut aliran berkenaan. Pegawai itu diam. Tidak pula saya pasti adakah beliau bersetuju dengan perkara itu.
Lebih 10 tahun lalu, saya pernah tulis sebuah naskhah drama untuk program Sandiwara Radio di Alor Setar dan telah diterbitkan oleh Tengku Abdullah Tengku Ahmad (TATA)dengan mengemukakan salah satu watak bukan Muslim yang mengambil subjek Pengetahuan Ugama Islam dalam peperiksaan disekolah menengah. Dia akhirnya menganut Islam. Biapun itu hanyalah berdasarkan daya kreatif saya, mutakhir ini rupanya ia adalah sebahagian realiti.

Friday, April 10, 2009

SEMUA JADI KECOH BILA BUKAN MUSLIM BACA AYAT QURAN!


Lim Jooi Soon


YB Nga Kor Ming

Saya diserang strok/angin ahmar pada 17.9.2009. Setelah mengambil makanan kesihatan anugerah Allah meskipun datang dari sekutu Israel United State selain bersenam, Alhamdulillah saya semakin pulih.
Namun di sini bukan saya nak cerita tentang strok. Sebaliknya ialah berkenaan 2 individu bukan Islam berketurunan Cina (saya tak suka guna istilah 'bangsa' kerana ia menggambarkan perkauman).
Individu pertama ialah pengedar makanan kesihatan bernama Mr Ang Teik Chi yang tahu mengenai kaedah-kaedah mengurut dan ada orang memanggilnya Doktor.Mr Ang pernah mengurut saya dengan dimulakan dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim. Sebelum itu beliau 'menjampi' minyak kelapa yang digunakan untuk mengurut itu dengan Surah Al-Fatihah dari mula sampai tamat. Dia juga begitu lancar mengungkapkan ucapan insya Allah saya akan pulih dengan kehendak Allah.
Individu kedua ialah pengedar penapis air yang saya sekeluarga mengenalinya sebagai Mr Ong. Bila dia melihat saya yang sebelumnya lumpuh sebahagian badan sudah boleh berjalan serta memandu motokar dia mengungkapkan Alhamdulillah.
Ada beberapa orang kawan memberi komen bahawa hal itu tak betul tapi bila saya tanya di mana silapnya tak ada yang boleh beri penjelasan. Lalu saya katakan bahawa MR Ang dan Mr Ong juga hamba Allah mereka diam.
Pada 9.3.2009 seorang saudara baru, Lim Jooi Soon menyamapikan ceramah di Alor Setara dalam satu acara Wacana Minda.Saya kagum dengan pendekatan yang beliau gunakan untuk berdakwah dan mempunyai pengetahuan terhadap kandungan kitab-kitab Injil, al-Quran dan kitab ugama Hindu.
Beliau merupakan saudara baru pertama yang menganut Islam dengan mengekalkan nama Cina setelah berdebat selama 5 tahun dengan mufti berhubung dengan perkara tersebut. Kita doakan beliau mencapai banyak kejayaan dalam usaha dakwahnya.YB Nga Kor Ming bukanlah orang pertama tidak disenangi bila menggunakan ayat-ayat suci ketika berceramah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng yang mengatakan dia akan mentadbir mengikut acuan Khalifah Omar Abdul Aziz pernah dituduh sebagai biadap.

Mengapa hal begini berlaku?

Ya... tentulah tidak lain kerana kedua-duanya dari DAP!
Oleh yang demikian, YB Karpal Singh dan YB Lim Kit Siang juga patut berfikiran terbuka dalam hal ini. Mungkin YB Drs Khalil Idham dan beberapa orang lagi patut berbuat sesuatu dan ada baiknya direnungkan bahawa sebilangan pengarah filem Melayu di zaman awal (kebanyakan berketurunan India) dahulu bukan beragama Islam, tetapi mereka telah menghasilkan bukan sedikit filem-filem berbau Islam.

Sunday, January 4, 2009



APA SUMBANGAN KITA?

Sejak 1967 zionis Yahudi @ Israel memperkasakan pembunuhan dan kemudian merobohkan premis dengan melaksanakan peperangan yang tidak pernah diharamkan oleh PBB. Sekutu rapatnya yang menaja dana ialah Amerika. Cuba bayangkan, masyarakat zionis tu bukannya ada kerja selain berperang. Kita warga Malaysia juga turut hulurkan dana dengan melanggan produk keluaran sekutu zionis antaranya Nestle, Johnson & Johnson, Kraft, Coca Cola, Pepsi Cola, Colgate dan banyak lagi terutamanya pewangi serta kosmetik. Produk yang paling banyak ialah rokok/tembakau. Andainya sebatang rokok menyumbang 10 sen ke dalam tabung perang zionis, hitunglah berapa jumlah yang disumbangkan?

Pada 3 Januari 2009 lalu semasa menghadiri kenduri di rumah seorang kawan di Alor Setar saya sempat berbual singkat dengan Ed Lazim (gambar) dan membayangkan dengan hal tersebut.

Ed Lazim adalah warga istimewa yang hanya sebelah mata sahaja berfungsi sekitar 50% sahaja. Manakala sebelah mata lagi menurut katanya, langsung tidak berfungsi.

Saya mengkagumi anak muda ini kerana keupayaannya bermain muzik (gitar) sambil menyampaikan lagu terutamanya lagu puisi dengan baik. Beliau berupaya menggubah lagu dengan pantas; jika diberikan puisi pada waktu pagi, pada sebelah petang beliau sudah boleh menyampaikannya dengan begitu baik.

Berbalik kepada butir-butir perbualan di rumah kenduri berkenaan. Saya meluahkan pandangan begini:

Jika diperhatikan bukan sedikit puisi/sajak dicipta lalu disiarkan oleh pelbagai media melahirkan luahan kemarahan terhadap zionis Yahudi yang membantai warga Palestin yang kini telah menjangkau hamper 500 jiwa.

Warga dunia begitu geram dengan keangkuhan Amerika mengeluarkan kenyataan yang menuding jari menyalahkan Hammas lalu mengatakan bertanggungjawab atas apa yang berlaku!

Saya menyampaikan pendapat mengatakan puisi-puisi yang ditulis akan hanya tinggal kaku dalam buku atau berlonggok di esastera. Persoalannya ialah mengapa tiada mana-mana pihak yang mahu merakamkan lagu-lagu atau deklamasi dalam bentuk CD atau kaset kemudian dipasarkan. Sebahgian kutipan jualannya bolehlah disumbangkan kepada tabung bantuan rakyat Palestin.

Barangkali ia boleh dilaksanakan.

Monday, December 8, 2008

Memancing dan menang hadiah tanpa risiko




Seperti tidak percaya bahawa di kawasan Rancangan Tanah Persekutuan (FELDA) Bersia dalam daerah Gerik rupanya ada kolam memancing. Lokasinya yang agak jauh dari sungai berarus deras menghindarkan risiko andai pemancing membawa anak-anak yang nakal dan aktif.




Sekiranya rasa lapar atau dahaga dan jika pemancing tidak bawa bekalan, boleh juga membasahkan tekak dan mengisi perut di warung berhampiran.

Setakat ini, pemancing paling jauh datang dari Jeli Kelantan, Alor Setar dan Perlis.
Bukan sahaja menyeronokkan bagi kaki-kaki pancing. Pemancing juga berpeluang memenangi hadiah!



Umpan?



Anda TIDAK PERLU MEMBAWANYA! Umpannya boleh dibeli di tepi kolam.



Joran?



Kenalah bawa bersama. Takkan nak pergi memancing tak bawa joran. Bukankah itu alat utama? Berapa batangpun tak kisahlah asal lengkap sebagai joran.



Ada hadiah?



Wow!! Ni yang best ni. Hadiah lumayan boleh dimenangi pada bila-bila masa saja.



Syaratnya?



Ehh.... banyak soal pula.
Telefonlah 013-5937754 (Cikgu Rodiah/Wahab).

Wednesday, December 3, 2008



TAK ADA TANAH JUGA BOLEH TANAM CILI.

PADA 25 November 2008 lalu saya dan isteri ke Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) di bangi kerana anak ketiga menghadiri temuduga pengambilan kemasukan pelajar mulai Januari 2009 kursus berkaiatan kenderaan (Automotive).

Bagaimanapun bukan perkara itu yang akan saya perkatakan. Sebaliknya ialah berkaitan dengan kaedah bertani yang sepatutnya diambil peluang oleh setiap orang mengusahakannya.

Selalunya, bila dibincang mengenai syor pihak berwajib untuk bertani, perkara pertama yang akan dipersoalkan tentulah kawasan tanah sebagai tapaknya.

Namun kebelakangan ini, persoalan tanah untuk bercucuk tanam bukanlah suatu masalah.

Selepas selesai urusan temuduga anak saya di UNIKL, kami bertiga yang pergi ke sana dengan anak saudara yang bertugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan di Stesen JPJ Semenyih singgah di pejabat tempat beliau bertugas.

Sebelum bertolak balik, saya sempat melihat tanaman cili yang hanya ditempatkan di tepi pagar sahaja.

Apa yang menarik ialah anak-anak cili tidak ditanam atas tanah. Sebaliknya ialah dalam poly bag yang diisi dengan tanah bercampur baja.

Kaedah begini sebenarnya boleh diusahakan dalam kawasan perumahan. Manakala jika seseorang itu tinggal di kampong, memadai andainya diatur di sekeliling rumah atau mana-mana kawasan lapang dan diawasi daripada gangguan musuh seperti siput babi dan sebagainya.
Maklumat terbaru yang saya perolehi, harga cili di Alor Setar ialah RM 16 sekilogram.

Laporan di muka akhbar hadapan Sinar Harian edisi 4.12.2008 memetik: FAMA import cili stabilkan harga menjelaskan bahawa agensi itu di negeri Kedah mengimport dua tan metric cili merah jenis ‘Minyak’ dari Cina sebagai langkah menampung keperluan bahan masakan itu yang semakin berkurangan di pasaran akibat musim hujan.

Pengarahnya, Wan Abdullah Wan Chik berkata, langkah itu diambil memandangkan harga cili merah kini melambung melebihi 150 peratus daripada harga asal iaitu RM 5 sekilogram pada bulan lepas.