Johari tidak layak pertikai kewibawaan – Ansara
KUALA LUMPUR 17 Mac – Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) kesal dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom yang mempertikaikan kewibawaan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.
Timbalan Presidennya, Mohd. Roslan Bani Amin berkata, kemenangan Mukhriz dengan majoriti besar membuktikan penduduk di kawasan Jerlun menghargai dan memberikan sokongan kepadanya.
Katanya, Johari juga tidak sepatutnya menyatakan pemilihan Mukhriz sebagai calon di kerusi Parlimen itu adalah hanya kerana mengenang jasa bapa beliau iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Pemilihan beliau sebagai calon di Parlimen Jerlun telah diteliti oleh pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas pelbagai faktor antaranya hasil kejayaan beliau sebagai Koordinator Aman Malaysia.
“Ansara percaya Johari juga mahu fenomena itu berlaku pada diri beliau. Bagaimanapun, undi Johari merudum daripada 13,712 kepada 7,060 undi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, mungkin Johari perlu mempertingkatkan lagi jasanya kepada masyarakat di Kubang Pasu berbanding tempoh perkhidmatannya pada penggal lalu.
Dalam kenyataan itu juga, Ansara membidas kenyataan Johari yang menidakkan sumbangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu selama ini.
“Johari gagal melihat sumbangan Mukhriz dalam khidmat baktinya kepada masyarakat dengan menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Malaysia dan Ansara,’’ jelasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment