Wednesday, December 3, 2008



TAK ADA TANAH JUGA BOLEH TANAM CILI.

PADA 25 November 2008 lalu saya dan isteri ke Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) di bangi kerana anak ketiga menghadiri temuduga pengambilan kemasukan pelajar mulai Januari 2009 kursus berkaiatan kenderaan (Automotive).

Bagaimanapun bukan perkara itu yang akan saya perkatakan. Sebaliknya ialah berkaitan dengan kaedah bertani yang sepatutnya diambil peluang oleh setiap orang mengusahakannya.

Selalunya, bila dibincang mengenai syor pihak berwajib untuk bertani, perkara pertama yang akan dipersoalkan tentulah kawasan tanah sebagai tapaknya.

Namun kebelakangan ini, persoalan tanah untuk bercucuk tanam bukanlah suatu masalah.

Selepas selesai urusan temuduga anak saya di UNIKL, kami bertiga yang pergi ke sana dengan anak saudara yang bertugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan di Stesen JPJ Semenyih singgah di pejabat tempat beliau bertugas.

Sebelum bertolak balik, saya sempat melihat tanaman cili yang hanya ditempatkan di tepi pagar sahaja.

Apa yang menarik ialah anak-anak cili tidak ditanam atas tanah. Sebaliknya ialah dalam poly bag yang diisi dengan tanah bercampur baja.

Kaedah begini sebenarnya boleh diusahakan dalam kawasan perumahan. Manakala jika seseorang itu tinggal di kampong, memadai andainya diatur di sekeliling rumah atau mana-mana kawasan lapang dan diawasi daripada gangguan musuh seperti siput babi dan sebagainya.
Maklumat terbaru yang saya perolehi, harga cili di Alor Setar ialah RM 16 sekilogram.

Laporan di muka akhbar hadapan Sinar Harian edisi 4.12.2008 memetik: FAMA import cili stabilkan harga menjelaskan bahawa agensi itu di negeri Kedah mengimport dua tan metric cili merah jenis ‘Minyak’ dari Cina sebagai langkah menampung keperluan bahan masakan itu yang semakin berkurangan di pasaran akibat musim hujan.

Pengarahnya, Wan Abdullah Wan Chik berkata, langkah itu diambil memandangkan harga cili merah kini melambung melebihi 150 peratus daripada harga asal iaitu RM 5 sekilogram pada bulan lepas.

No comments: