Sunday, April 12, 2009

CARA MEMIKAT KHALAYAK MENDEKATI ISLAM KIAN MENARIK




Cara memikat khalayak mendekati Islam dilihat kian menarik. Elok rasanya gaya baginda Rasulullah s.a.w. menyampaikan risalah Islam dengan menanamkan aqidah selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun dengan ilmu fiqah di Madinah wajar dijadikan kajian terperinci. Bukan mengecam serta mencerca jika ada terdapat bukan Muslim membaca al-Quran! Jika kaedah sedemikian (mengecam dan mencerca)digunapakai, saya percaya kita gagal menarik orang-orang bukan Muslim mendekati Islam.
Lantas saya teringat berkenaan penglibatan dengan sebuah kumpulan muzik di Alor Setar ketika saya belum diserang strok/angin ahmar dulu. Saya bukanlah berkebolehan sangat di bidang nyanyian. Namun keupayaan saya membawa beberapa buah lagu zaman 1960-an, saya diminta membantu Band Rakan Muda yang rata-rata anggotanya adalah anak-anak remaja di bawah umur 25 tahun. Saya kagum dengan kesungguhan mereka memanfaatkan masa daripada melepak dan merempit yang ternyata sia-sia.
Ada seorang pegawai di tempat saya bertugas waktu itu yang berkata bahawa perbuatan saya sedemikian mendorong ke arah maksiat. Saya kurang senang dengan pendapat beliau yang memandang rendah terhadap penglibat di bidang seni suara seolah-olah mereka itu berada dalam golongan mengamal maksiat.
Demi menegakkan pendirian, saya mempertahankannya dengan mengatakan bahawa tindakan saya itu berada di landasan yang betul. Alasan yang saya berikan ialah adalah lebih baik jika anak-anak muda Islam mencintai lagu-lagu tempatan daripada meminati atau memuja lagu-lagu dari barat yang entahkan zikir mereka di gereja. Tidak lama kemudian membiak lagu-lagu black metal yang turut mempengaruhi sebilangan anak muda. Lalu saya nyatakan kepada pegawai berkenaan, jika anak-anak muda tidak didorong untuk meminati lagu-lagu Melayu barangkali ramai di antara mereka jadi penganut aliran berkenaan. Pegawai itu diam. Tidak pula saya pasti adakah beliau bersetuju dengan perkara itu.
Lebih 10 tahun lalu, saya pernah tulis sebuah naskhah drama untuk program Sandiwara Radio di Alor Setar dan telah diterbitkan oleh Tengku Abdullah Tengku Ahmad (TATA)dengan mengemukakan salah satu watak bukan Muslim yang mengambil subjek Pengetahuan Ugama Islam dalam peperiksaan disekolah menengah. Dia akhirnya menganut Islam. Biapun itu hanyalah berdasarkan daya kreatif saya, mutakhir ini rupanya ia adalah sebahagian realiti.

No comments: