Tuesday, March 4, 2008

CALON PARLIMEN PADANG TERAP BERMASALAH?

Ada khabar kurang enak yang penulis dengar mengenai calon BN Parlimen Padang Terap (P7), Datuk Paduka Ghazali Ibrahim yang akan mempertahankan kerusinya di kawasan tersebut.

Seorang kawan di Kuala Nerang memberitahu bahawa ketika Pilihan Raya Umum 11 (PRU11) pada 2004 lalu, Ghazali pernah menyatakan bahawa beliau akan menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan itu untuk satu penggal sahaja. Ertinya pada Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 akan datang beliau tidak akan bertanding lagi.
Bagaimanapun apabila kabinet dibubarkan pada 13 Februari 2008 namanya turut disenaraikan sebagai bakal calon yang akan bertanding. Apabila tiba pada hari penamaan calon pada 24 Februari 2008 beliau telah memungkiri janji yang pernah dilafazkannya dahulu dengan mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRU12.
Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran agar calon dibolehkan menarik diri sebelum berakhir tempoh tiga hari selepas hari penamaan calon, mustahil beliau berbuat demikian yang sudah tentu akan memberikan kerusi percuma kepada calon PAS, Mohd. Nasir Zakaria yang mencabarnya dalam PRU12.
Menurut kawan yang memaklumkan hal tersebut kepada penulis, tindakan Ghazali itu telah mengguris perasaan mereka yang mengharapkan agar individu yang mereka sokong dapat dicalonkan untuk kerusi P7 diberi peluang.
Beliau menyatakan rasa bimbang kerana berikutan dengan perkara sedemikian akan berlaku pertelagahan dan lebih buruk lagi perpecahan di kalangan anggota parti.

Jumlah pengundi bagi Parlimen Padang Terap ialah seramai 36,086 orang. Manakala pecahan kaum ialah 92.68% (Melayu), 1.40% (Cina), 0.20% (India) dan 5.72% (lain-lain).

No comments: