Ramai kenalan penulis terlopong mulut mereka bila dikhabarkan bahawa mantan MB Kedah ke sepuluh, Dato' Seri Mahdzir Khalid yang jadi MB tidak sampai sepenggal mulai 28 Disember 2005 itu membina banglo berharga RM 4 juta.
"Kalau dinisbah dengan gajinya untuk membiayai pembinaan rumah itu secara kasar adalah sebanyak RM 167,000 sebulan," ujar seorang kenalan.
"Itu secara kasar tak termasuk perbelanjaan lain seperti makan, minum dan pakai," tokok seorang yang lain.
"Tapi kata seorang kenalan saya itu tak menghairankan. Dia memberitahu saya kawannya seorang doktor yang membuka klinik persendirian buat banglo berharga RM 10 juta," tukas penulis.
"Berapa pendapatannya sebulan? Berapa lama pula dia buka klinik tu?" tanya kenalan yang mula-mula bersuara tadi dengan suara agak pongah.
Penulis tidak dapat memberikan sebarang ulasan. Namun dalam hati terasa sedih mengenangkan para peniaga yang menjalankan aktiviti harian mereka.
"Barang dah naik harga. Berapa banyak kami nak untung," pernah penulis dengar rungutan peniaga gerai makanan. "Kami ditegah menaikkan harga makanan yang dijual. Sedangkan untuk mendapatkan bahan-bahan ni semua makan modal," tambahnya.
Lebih mengharukan ialah ada peniaga-peniaga makanan terpaksa tutup perniagaan mereka. Manakala pihak kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum 12 pada 8 Mac 2008 lalu heboh uar-uarkan ekonomi sudah semakin pulih dan meningkat.
Peningkatan ekonomi adalah kenyataan yang amat meragukan kerana yang meningkat sebenarnya adalah jenayah. Dan jenayah itu pula sebahagiannya dilakukan oleh pendatang asing yang kemasukannya ke negara ini begitu mendadak bilangannya. Kedatangan mereka juga menyekat peluang anak negeri untuk mendapatkan pekerjaan. Lalu untuk meneruskan survival, anak negeri juga turut terlibat dengan aktiviti jenayah.
No comments:
Post a Comment