Tuesday, May 6, 2008

KENAPA SEKARANG BARU SEDAR?

Hubungan renggang punca BN kalah


Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS


PULAU PINANG 26 April - Hubungan yang renggang antara pemimpin dengan masyarakat luar bandar dikenal pasti salah satu punca Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada pilihan raya umum lalu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sebagai suara kepada rakyat, para pemimpin negeri sepatutnya turun padang dan mendengar segala masalah terutama di peringkat akar umbi.


"Dulu kita hanya sibuk dan tumpu kepada projek-projek mega sahaja hingga terlupa akan pembangunan masyarakat di luar bandar.


"Apabila golongan tersebut merasa mereka diabaikan, maka mereka pun tidak menyokong kita lagi," kata bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan itu.


Beliau berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Titian Kasih (Pertikas) di sini hari ini.



Petikan di atas adalah sebuah berita yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia 27/4/2008.



Kita berasa 'lucu' kerana baru sekarang nak sedar akan perkara tersebut setelah lebih 50 tahun negara bebas dari cengkaman penjajah!



Peringkat pusat seolah-olah memekakkan telinga terhadap kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat di luar bandar @ peringkat akar umbi.



Sebagai contoh ialah apa yang pernah berlaku kepada desa kelahiran penulis sebagaimana yang dipaparkan di bawah secara ringkas.



Sekitar awal tahun 1960-an ketika penulis masih di bangku sekolah rendah, masyarakat desa telah bergotong royong mengeluarkan keringat bagi membina jalan raya yang kemudian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ketika itu dikenali sebagai Public Works Department (masayarakat desa mengenalinya sebagai PWD) telah menghantar jentolak yang pengendalinya bernama Nayan. Juga sebuah kereta penggiling (steamroll) yang dikendalikan oleh Ghani, seorang India Muslim.



Berikutnya dihantar pula batu yang dilonggokan di tepi-tepi jalan dan kemudian diratakan oleh Ghani dengan bantuan masyarakat desa yang tidak bakhil dengan sifat tolong-menolong. Mereka rasa sangat gembira kerana kerajaan bercadang membina jalan yang sempurna bagi memudahkan perjalalan untuk mengangkut hasil-hasil pertanian ke bandar. Selain itu tentulah

memudahkan anak-anak termasuk penulis untuk berulang-alik ke sekolah.



Kemudian dipasang papantanda yang kalau penulis tak salah ingat antaranya menyatakan ia adalah RANCANGAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (PLB) di samping sebuah lagi papantanda yang tertera di atasnya perkataan Pembinaan Jalan 5 batu.



Malangnya sehingga penulis berhijrah ke bandar pada pertengahan tahun 1970-an apabila diterima bertugas dengan sebuah organisasi kerajaan dan kemudian dijadikan sebuah agensi, jalan di bawah projek PLB itu tidak kelihatan. Malah batu-batu yang dulunya pernah dibekalkan kononnya untuk membina jalan sudah tidak kelihatan sama ada ia telah tenggelam dalam tanah atau sebagainya.



Manakala kedua-dua papantanda yang berkaitan juga turut menjadi sasaran kemarahan anak-anak muda masyarakat desa yang 'bertindak nakal' dengan membaling batu ke arahnya sehingga berlubang di sana-sini dan akhirnya hancur lalu luruh begitu sahaja.



Jika mengikut istilah masa kini ia disebut sebagai 'vandalisma'. Gejala berkenaan sebenarnya adalah direalisasikan oleh ajaran pemerintahan juga jika dikaji berdasarkan kisah yang penulis paparkan ini.



Anak-anak muda desa yang bertindak nakal itu kini telah lanjut usia dan sudah tentu memiliki anak-anak muda dan mungkin cucu yang telah meningkat remaja barangkali 'mewarisi' kenakalan bapa atau datuk mereka lalu terjebak dengan gejala vandalisma dan mungkin lebih buruk lagi dalam gejala penyalahgunaan dadah atau jenayah lain juga. Apa lagi dalam suasana ekonomi yang masih meleset kini.



Dalam tahun 1986 bapa penulis yang juga adalah penyokong asal UMNO dan pernah berkecimpung lama di arena politik dan pernah beberapa kali dilantik selaku salah seorang perayu undi pilihanraya telah meninggal dunia.



Ketika pulang untuk menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di mana sebelumnya penulis berkali-kali pulang ke desa, terpaksa meninggalkan motokar jauh dari rumah kelahiran penulis kerana tiada jalan sempurna yang berdekatan.



Di awal tahun 1990-an penulis pernah tinggal motokar di separuh perjalanan untuk pulang menjenguk ibu yang tinggal di desa setetah motokar terbenam dalam selut cair di tengah jalan akibat tiada jalan sempurna.



Jalan separuh sempurna (mini tar) hanya terbina menjelang tahun 2000 iaitu pada penghujung tahun 1990-an sahaja.



Penulis merasa begitu terharu bila membayangkan betapa sabarnya masyarakat desa menghadapi kerenah pemerintah yang sering menabur janji apabila tiba musim pilihanraya, namun segala janji yang ditabur tidak diterjemahkan sebagai suatu realiti.




No comments: