PERSATUAN Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) yang dipengerusikan oleh Dato' Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-52 pada 15.5.2008 di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Alor Setar.
Pada mulanya ia akan dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dr Haji Hamdan Mohamed Khalib atas kapasitinya yang bertanggungjawab ke atas potfolio Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.
Namun oleh kerana berhalangan, dan difahamkan beliau telah pergi ke Kuala Lumpur kerana menghadiri sambutan Hari Belia Negara, tugas tersebut diambil alih oleh Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Haji Che Kasim Mahmud.
Selepas mesyuarat selesai, penulis berbual singkat dengan ahli lama persatuan Haji Musa Salim (Pak Musa) yang ketika di usia mudanya beliau pernah melalui zaman perintahan Jepun dan dapat menguasai dengan fasih bahasa dari negara terbit itu. Beliau juga berupaya menyanyi lagu-lagu dalam bahasa Jepun dengan begitu baik.
Menurutnya, biarpun pemerintahan Jepun di Kedah hanya berlangsung sekitar 3 tahun 5 bulan sahaja, rakyat dapat menguasai bahasanya kerana dipaksa berbuat demikian. Sebaliknya pada masa ini kerajaan mengambil langkah menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik kononnya bertujuan agar para pelajar dapat menguasai bahasa antarabangsa itu.
Beliau menegaskan, sebenarnya bukan itu caranya. Sebagai langkah yang lebih praktikal, beliau mencadangkan agar kaedah yang pernah digunakan oleh pemerintah Jepun dahulu dipraktikkan dalam pengajaran subjek bahasa Inggeris di sekolah.
Beliau yakin kaedah tersebut boleh berjaya memandangkan tempoh persekolahan lazimnya memakan masa lebih dari 10 tahun tidak termasuk pra-sekolah. Malah katanya diperingkat pra-sekolah juga boleh diperkenalkan dengan kaedah penggunaan bahasa Inggeris yang mudah-mudah dan mungkin bahasa Arab juga.
Penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik menurutnya adalah suatu kaedah yang tidak praktikal dan sekali gus akan melemahkan para pelajar terutama pelajar-pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar dalam subjek berkenaan.
Sejak dahulu lagi menurut beliau kedua-dua subjek berkenaan tidak begitu digemari oleh sebilangan pelajar Melayu.
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan agar pengajaran subjek Sains dan Matematik dilaksanakan semula dalam bahasa Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.
No comments:
Post a Comment