BUKANLAH satu perkara yang menghairankan jika Menteri Besar Kelantan, YAB Dato Nik Aziz Nik Mat menyatakan beliaulah orang yang paling gembira bila Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar UMNO.
Beliau juga menyatakan pintu PAS sentiasa terbuka untuk Tun Dr Mahathir andainya dia berhasrat menyertai PAS.
Meskipun Tun Dr Mahathir menafikan akan menyertai PAS, tetapi dalam politik macam-macam kemungkinan boleh berlaku.
Dalilnya sangat jelas kerana meskipun Tun Dr Mahathir pernah memimimpin UMNO selama lebih 22 tahun, akhirnya dia meninggalkan parti yang amat disayanginya itu.
PRU 12 menyaksikan hal yang di luar jangka telah berlaku. Manakala kini Kelab Penyokong PAS semakin galak pertumbuhannya di sana sini, sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dulunya orang bukan Islam juga amat khuatir kalau-kalau PAS berkuasa, tetapi kini tidak lagi.
Saya teringat PRU tahun 1991 di mana waktu itu saya adalah petugas di Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO yang pada waktu itu turut ditentang oleh Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Anak raja Kelantan ini merupakan 'orang lama' dalam UMNO dan sudah tentulah menyimpan banyak maklumat berkaitan UMNO.
Ketika tersebar berita serta foto Ku Li memakai hiasan kepala yang ada lambang salib ugama Kristian, Dato Khalid Abdullah (kini Tan Sri) segera datang ke Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO menyampaikan mesej bahawa Dr Mahathir mahu supaya PAS dapat meneruskan survival.
Alasan yang diberikan ialah kerana PAS merupakan satu-satunya parti Melayu yang masih wujud bagi meneruskan kesinambungannya dan tidak pernah diharamkan seperti yang pernah dialami oleh UMNO. Ini adalah kali kedua saya mendengar perkara sedemikian.
Sebelum ini dalam tahun 1980-an saya pernah mendengar cerita yang sama daripada Ustaz Halim Arshad yang pernah menentang Tun Dr Mahathir di kawasan Parlimen Kubang Pasu dalam PRU.
Saya yakin biarpun Tun Dr Mahathir dikatakan memperlekehkan pimpinan PAS oleh kebanyakan golongan ulama, dalam hatinya dia tetap menyanjung ketrampilan PAS sehingga mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Kelantan.
Di pihak PAS pula kini sewajarnya mengamalkan sikap fikiran terbuka demi perpaduan umat Melayu.
No comments:
Post a Comment