Sunday, May 11, 2008

EKONOMI TIDAK MENINGKAT, JENAYAH AMBIL TEMPAT

JITRA: Hasrat lima beradik yang mahu meraikan Hari Ibu bersama ibu mereka semalam, tidak kesampaian apabila ibu mereka yang berusia 75 tahun mati dibunuh selepas disamun di rumahnya di Taman Berlian, di sini, semalam. Mayat Che Bashah Che Ahmad ditemui dalam keadaan memilukan oleh anak keempatnya, Mat Ariff Abu Bakar, 40, pada kira-kira jam 3 petang semalam, iaitu dalam keadaan terbaring di atas sofa dengan berlumuran darah kerana ditikam dengan pisau yang diambil dari dapur oleh suspek. Ketika itu, Mat Ariff baru pulang dari sekolah apabila mendapati ibunya sudah tidak bernyawa, manakala barangan kemasnya lesap dan terus menghubungi polis.

Mangsa dipercayai berada di rumah seorang diri ketika dia disamun, manakala menantu, anak serta cucunya keluar bekerja dan sekolah. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang. Beliau berkata, mayat mangsa ditemui anak lelakinya yang baru pulang ke rumah apabila mendapati pintu pagar terbuka, manakala pintu jeriji dan pintu kayu dalam keadaan tertutup.

Petikan di atas adalah berita yang tersiar di akhbar Berita Harian 12.5.2008 sehari selepas UMNO merayakan ulangtahun ke-62 pada 11.5.2008 iaitu hari berlaku kejadian ngeri berkenaan.

Pada perayaan menyambut 62 tahun usia UMNO itu Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi dikatakan melahirkan rasa bimbang berikutan dengan kenaikan kos sara diri yang disifatkan boleh mengancam keutuhan kerajaan yang diterajui oleh BN.

Sebelum ini iaitu ketika menjelang PRU12, beliau berkali-kali mengatakan bahawa kemelesetan ekonomi masih terkawal, inflasi di Malaysia tidaklah begitu parah.

Sayangnya beliau tidak pernah melanggan makanan di warung-warung kecil di tepi jalan di mana para peniaga kecil sentiasa mengeluh kerana perniagaan mereka merosot akibat terpaksa menaikkan harga makanan di samping terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi untuk membeli bahan mentah.

Kita jadi hairan kerana jika ekonomi stabil kewjadian jenayah seperti yang dilaporkan itu terjadi dan mangsa dipercayai mengenali penjenayah, menurut pihak polis, berdasarkan tidak terdapat kesan rumahnya dipecah masuk.

Sebelum ini pula terdapat beberapa orang warga negara Malaysia yang terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa kerana mereka adalah golongan yang ingin mencari pendapatan ketika kos sara hidup meningkat.

Berdasarkan hal ini sewajarnya pihak berwajib peka dengan tuntutan survival pada era mutakhir ini dan tidak perlulah menyalak berkaitan dengan perkara remeh temeh. Ingatlah pada PRU13 nanti BN akan hilang kuasa di semua negeri! Renung-renungkanlah!

No comments: