Sunday, May 25, 2008

SAYEMBARA SAJAK


AKATAN Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama eSastera.com mempelawa penyair diseluruh dunia menyertai Sayembara Menulis Sajak bertemakan “Ternakan Kerbau Dalam Tradisi Masyarakat Melayu” yang menawarkan hadiah berjumlah RM 1,300 mulai 17.5.2008 hingga 31.10.2008.

Sekretariat sayembara menegaskan, penganjuran acara berkenaan sebagai di antara program sempena sambutan Jubli Emas Sultan Haji Abdul Halim Muazzam Shah menaiki takhta kerajaan negeri Kedah.
Selain itu ia adalah bertujuan bagi memeriahkan Tahun Melawat Kedah 2008 dan Acara Tahunan Pesta Menuai Kedah yang merupakan jelapang padi Malaysia.
Pemilihan temanya adalah memandangkan bahawa kerbau begitu akrab dengan masyarakat Melayu di masa silam terutama bagi mengusahakan industri pertanian selain haiwan terbabit juga turut menyumbang sumber protein iaitu daging dan susu.
Keakrabannya dapat dilihat dalam beberapa pepatah seperti ‘Masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak’, ‘Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’, ‘Manusia dipegang janjinya, kerbau dipegang talinya’ dan banyak lagi.
Masyarakat mendatang menurutnya, mungkin tidak lagi mengenali kerbau kerana haiwan ternakan itu kurang dipelihara selain kebanyakan aktiviti industri pertanian telah diambilalih oleh jentera sesuai dengan tuntutan peredaran zaman.
Antara syarat penyertaan yang telah ditetapkan ialah:
· Hadiah yang ditawarkan terbahagi kepada tiga (3) kategori; pertama RM 1,000, kedua RM 200 dan ketiga RM 100.
· Karya sajak bebas tetapi mestilah mematuhi tema yang telah ditetapkan: Ternakan Kerbau Dalam Tradisi Masyarakat Melayu
· Karya sajak mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.
· Tidak terikat dengan taraf tiga (3) bintang dalam keahlian eSastera.
· Penghantaran karya hanya akan diterima melalui muatnaik (upload) ke folder Komuniti Penyair eSastera.com.
· Penulis tidak terikat dengan jumlah karya yang hendak dihantar, hadiah hanya akan diberikan kepada sebuah karya yang terbaik.
· Karya yang diiktiraf sebagai pemenang, penulisnya akan diminta mengirimkan biodata dan pengesahan keasliannya.
· Karya yang menyertai sayembara tidak dibenarkan dihantar ke mana-mana penerbitan sewaktu tempoh peraduan (17.52008 – 31.10.2008).
· Keputusan pengadil adalah muktamad.
· Penulis digalakkan meggunakan unsur multimedia ketika mengemukakan karya ke eSastera.com dan mencatatkan sumber unsur-unsur yang digunakan seperti gambar dan muzik.
· Penulis tidak terikat dengan panjang pendek karya sajak yang dikirimkan.
· Majlis penyampaian hadiah akan diumumkan kemudian.
· Karya yang terbaik akan dikumpulkan dalam sebuah antologi, jika didapati sesuai.
Butir-butir sayembara boleh dirujuk di laman web http://www.rumah.ws/ESsayembara/kerbau.htm atau di blog ASASI, http://asasi.esasterawan.net.

Untuk maklumat lanjut, pertanyaan boleh diajukan melalui email asasikedah@yahoo.com.



No comments: